KOTA KINABALU, 22 Februari- Sabah FC sekadar membawa pulang satu mata apabila terikat 1-1 dalam aksi bertemu KL City FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.
Terdahulu pada perlawanan itu, tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan pada aksi separuh masa pertama apabila cuba untuk mendapatkan gol awal.
Gol pertama datang pada minit ke-6 apabila hantaran lintang Farhan Roslan berjaya ditanduk Kumaahran Sathasivam.
Bagaimanapun pada separuh masa kedua, tuan rumah kurang bernasib baik apabila gawang yang dipertahan habis-habisan dibolosi pada minit ke-81 hasil rembatan Muhammad Haqimi Azim Rosli.
Sementara itu Jurulatih Sabah FC Martin Stano berkata, faktor cuaca menyebabkan para pemain tidak dapat menampilkan aksi cemerlang.
"Hari ini, malangnya cuaca yang menang, bukan bola sepak, kerana ia memberikan kami masalah. Terutamanya pada separuh masa pertama, ia sukar untuk bermain dalam keadaan ini.
"Keadaan padang bukan soal taktikal atau kemahiran teknikal, tetapi malangnya, pemain perlu bermain mengikut keadaan. Namun para pemain bermain dengan baik," katanya.
Bagi Ketua Jurulatih KL City FC Miroslav Kuljanac, beliau menyifatkan keadaan padang mempengaruhi aksi pemain menentang Sabah FC.
"Bagi kami, keadaan padang ini tidak bagus kerana kami tidak mempunyai ruang untuk bermain dengan gaya bola sepak tersebut.
"Tetapi pada akhirnya, saya perlu berpuas hati dengan satu mata di sini. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi kami mendapat satu mata," katanya.
Perlawanan seterusnya, Sabah FC akan menentang Selangor FC pada 27 Februari di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).