fb fb fb fb fb

Rybakina cemerlang di Tokyo, tempah tiket ke WTA akhir Riyadh

Elena Rybakina/AFP

TOKYO, 24 Oktober – Pemain tenis Kazakhstan, Elena Rybakina melengkapkan senarai peserta WTA akhir selepas mara ke separuh akhir Pan Pacific Open di Tokyo pada Jumaat.

Rybakina, yang telah memenangi dua gelaran WTA 500 musim ini, menewaskan wakil Kanada, Victoria Mboko, dengan keputusan 6-3, 7-6(4) dalam aksi suku akhir kejohanan tersebut.

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun berkenaan mengesahkan slot terakhir ke kejohanan penutup musim di Riyadh, yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 8 November.

Dua pemain Rusia, Mirra Andreeva (18 tahun) dan Ekaterina Alexandrova (30 tahun), diumumkan sebagai pemain simpanan pertama dan kedua bagi edisi kali ini.

Bekas juara Wimbledon itu akan menyertai barisan pemain elit termasuk pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka, Iga Swiatek, Coco Gauff (juara bertahan), Amanda Anisimova, Jessica Pegula, Madison Keys, dan Jasmine Paolini dalam senarai lapan pemain terbaik dunia.

Rybakina, yang dijangka naik satu anak tangga ke ranking keenam dunia apabila senarai terbaharu dikeluarkan, bakal berdepan pemain Republik Czech, Linda Noskova, di separuh akhir Tokyo pada Sabtu (25 Oktober).

Noskova mara ke separuh akhir selepas lawannya dari Rusia, Anna Kalinskaya, menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 6-1, 1-0 dalam perlawanan suku akhir. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN