fb fb fb fb fb

Warisan seni persilatan terus dipelihara

Foto RTM

TANJONG MALIM, 24 Oktober – Warisan dan seni persilatan bukan sekadar simbol tradisi, sebaliknya menjadi lambang jati diri, maruah dan falsafah hidup bangsa Melayu yang perlu terus dipelihara serta dimartabatkan di pentas global.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata seni persilatan mengandungi nilai-nilai luhur yang mencerminkan ketinggian adab, keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Melayu sejak dahulu.

“Persilatan bukan sekadar seni tempur, tetapi lambang disiplin, maruah dan falsafah hidup. Lagu rakyat dan puisi pula bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan roh dan jiwa masyarakat.

“Budaya tradisional kita bukan hanya untuk dipamerkan, tetapi untuk difahami, dihayati dan diwarisi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Rumpun Melayu Antarabangsa (RUMIA) 2025 di Lumut hari ini.

Beliau berkata, RUMIA 2025 yang bertemakan “Silat Warisan Dunia: Memartabatkan Jati Diri Melayu di Pentas Global” merupakan wadah penting untuk memperkukuh kefahaman terhadap warisan budaya bangsa melalui pendekatan holistik yang merangkumi seni persilatan, bahasa, budaya dan nilai-nilai murni tamadun Melayu.

RUMIA anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) itu diadakan bersempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA 2025) dan menghimpunkan pelbagai sarjana serta delegasi antarabangsa dari seluruh rantau Melayu.

Tambah beliau, di tengah arus globalisasi dan digitalisasi yang pantas, warisan budaya Melayu tidak seharusnya dipinggirkan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan yang membentuk ketahanan jati diri bangsa.

Warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu. Warisan ialah akar umbi yang menentukan hala tuju dan jati diri bangsa. Kemajuan tidak menuntut kita melupakan akar, malah budaya warisan inilah yang membentuk ketahanan jati diri dalam dunia yang sedang berubah pantas.

Ujarnya lagi, UPSI sebagai universiti yang berteraskan legasi Sultan Idris Training College (SITC) sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan merupakan kunci kepada pembinaan peradaban bangsa.

“Kami amat mengalu-alukan sumbangan idea, pandangan kritis dan hasil perbincangan daripada peserta persidangan ini demi memperkukuh warisan, menyemarakkan ilmu dan menyatukan bangsa serumpun melalui landasan budaya serta nilai kearifan watan,” katanya.

Dalam program itu turut berlangsung ucap ulung oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, yang menekankan kepentingan silat dan warisan Melayu sebagai teras perpaduan serta kedaulatan bangsa di alam Melayu.

Selain itu, sesi “Sembang-Sembang Santai” bertajuk “Silat dan Pembinaan Jiwa Mukmin: Keseimbangan Fizikal dan Rohani” turut diadakan dengan menampilkan barisan panel berpengalaman iaitu Tuan Haji Ghazali Abdul Rahman daripada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia; Mudir Pondok Fatah Robbani, Johari Mohd Som serta Penaung Persatuan Seni Warisan Pusaka dan Budaya Negeri Perak, Yang Mulia Raja Shariman Raja Azzidin.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN