SEPANG, 24 Oktober – Pelumba muda Sepanyol, Fermin Aldeguer mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat masa terpantas dalam sesi latihan pertama MotoGP Malaysia yang berlangsung dalam keadaan litar basah di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Penunggang pasukan Ducati-Gresini itu menamatkan sesi di kedudukan teratas dengan catatan masa 2 minit 00.199 saat, mengatasi juara dunia dari Itali, Francesco Bagnaia, dengan kelebihan 0.256 saat.
Rakan sepasukannya, Alex Marquez yang sedang memburu tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan musim ini, bagaimanapun terlibat dalam kemalangan apabila tergelincir di Selekoh 7 pada pertengahan sesi. Marquez menamatkan sesi di tempat ketujuh dengan masa 2:00.720.
Hujan lebat yang melanda kawasan Sepang turut menyebabkan sesi latihan dihentikan seketika selepas bendera kuning dikibarkan, sebelum disambung semula dalam tempoh 90 saat terakhir.
Foto AFP
Acara kali ini berlangsung tanpa penyertaan juara dunia baharu, Marc Marquez, yang diketepikan bagi baki musim ini selepas mengalami kecederaan tulang selangka ketika beraksi di Grand Prix Indonesia awal bulan ini.
Aldeguer, berusia 20 tahun, kemudian menamatkan hujung minggu dengan penuh bergaya apabila menjuarai perlumbaan utama untuk meraih kemenangan pertamanya dalam karier MotoGP.
Ketiadaan Marc membuka ruang kepada adiknya, Alex Marquez, untuk mencipta sejarah dengan kemungkinan menggandingkan dua beradik Marquez di dua kedudukan teratas dalam senarai akhir kejuaraan dunia musim ini.
Dalam pada itu, dua pelumba negara yang beraksi menerusi tiket peluang khas (wildcard), Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Helmi Azman dari pasukan Petronas MIE Racing RW, menghadapi cabaran getir apabila menamatkan sesi latihan di kedudukan tercorot.
Azroy Hakeem mencatatkan masa 2:08.023 saat untuk menduduki tempat ke-29, manakala Helmi menamatkan sesi di kedudukan terakhir dengan masa 2:08.933 saat.
Sementara itu, seorang lagi pelumba wildcard negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menamatkan saingan di tempat kelapan pada penampilan sulungnya dalam kelas Moto3.
Pelumba pasukan Aeon Credit SIC Racing itu merekodkan masa 2:11.317 saat, dalam saingan yang diungguli pelumba Frinsa-MT Helmets-MSI, Angel Piqueras dengan catatan 2:10.979 saat, diikuti Jacob Roulstone dari Red Bull KTM Tech3 (2:11.031s) dan Joel Kelso dari LEVELUP-MTA (2:11.085s).