KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Malaysia mencatat sejarah apabila meraih dua pingat gangsa dalam acara teqball di Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain, sekali gus menjadi pingat rasmi pertama disumbangkan oleh Persatuan Teqball Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 2018.
Kejayaan itu dianggap satu pencapaian membanggakan memandangkan penyertaan pasukan teqball negara dijalankan melalui usaha serta pembiayaan sendiri tanpa sokongan penuh kerajaan.
Foto FB MTA
Presiden merangkap pengasas Persatuan Teqball Malaysia, Encik Sivakumar Jakarathan (KJ) menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan penaja tampil memberi sokongan bagi memperkukuh pembangunan sukan tersebut.
“Dengan sokongan yang sewajarnya, kami mampu memperluaskan program pembangunan atlet dan membina pasukan mantap menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok dan Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kejayaan itu katanya sekali gus menandakan langkah positif buat teqball Malaysia dalam memperkukuh kedudukan di peringkat serantau dan antarabangsa.