GLASGOW, 5 Jun - Kelab Liga Utama Scotland, Rangers mengesahkan pelantikan bekas pengurus Southampton, Russell Martin, sebagai ketua jurulatih baharu mereka dengan kontrak selama tiga tahun.
Martin, 39 sebelum ini membimbing Southampton ke saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu, namun dipecat pada Disember selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam 16 perlawanan pertama.
Beliau yang juga bekas pertahanan Scotland yang pernah beraksi secara pinjaman bersama Rangers pada 2018, kini memikul cabaran besar untuk menyaingi Celtic, yang baru sahaja menjuarai liga buat kali ke-13 dalam tempoh 14 musim.
“Daripada pengalaman singkat saya di sini sebelum ini, saya dapat rasa betapa istimewanya kelab ini dengan penuh harapan, semangat, dan sejarahnya.
“Sekarang saya sudah kembali, saya berazam untuk membawa kejayaan kepada kelab ini untuk penyokong dan pemain. Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi matlamatnya jelas iaitu memenangi setiap perlawanan, menang trofi dan membentuk pasukan yang boleh dibanggakan oleh penyokong Rangers.” katanya.
Rangers mengakhiri musim lalu ditempat kedua di belakang Celtic, di bawah kendalian sementara bekas kapten mereka, Barry Ferguson, selepas pemecatan Philippe Clement pada bulan Februari. - REUTERS