fb fb fb fb fb

Russell juarai GP Kanada, Piastri kukuh pendahulu kejuaraan F1

Pelumba Mercedes-AMG Petronas, George Russell meraikan kejayaannya muncul juara GP Kanada / REUTERS

MONTREAL,16 Jun- George Russell menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan Mercedes musim ini selepas menjuarai Grand Prix Formula 1 Kanada di Litar Gilles Villeneuve, pada Aahd.

Pelumba McLaren, Oscar Piastri pula terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 22 mata, meskipun insiden dramatik menyaksikan rakan sepasukan, Lando Norris, melanggarnya tiga pusingan sebelum tamat perlumbaan.

Sementra itu, impian Max Verstappen untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut di Montreal tidak kesampaian apabila pelumba Red Bull itu menamatkan saingan di tempat kedua.

Naib juara dunia F2 musim lalu, Kimi Antonelli, yang juga rakan sepasukan baharu Russell di Mercedes, meraih podium pertama dalam kariernya selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, menjadikannya pelumba ketiga termuda dalam sejarah F1 yang berjaya mendaki podium.

Piastri sekadar di tempat keempat selepas insiden bersama Norris menyebabkan kereta keselamatan terpaksa dikerah ke litar. Walaupun sempat masuk pit dan memiliki kelebihan kualiti tayar, peluang untuk menyerang tidak kesampaian apabila perlumbaan tidak disambung semula.

Insiden tersebut menjadi titik dramatik perlumbaan apabila Norris, yang cuba memotong Piastri, gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang kereta rakan sepasukannya sebelum terbabas dan terpaksa menarik diri.

Di belakang mereka, Charles Leclerc (Ferrari) dan Lewis Hamilton (Mercedes) masing-masing menamatkan saingan di tempat kelima dan keenam. Fernando Alonso (Aston Martin) ketujuh, diikuti Nico Hulkenberg (Sauber) kelapan, manakala Esteban Ocon (Haas) kesembilan dalam perlumbaan ke-200 buat pasukannya. Carlos Sainz (Williams) melengkapkan senarai 10 pelumba terbaik.

Russell memulakan perlumbaan dari petak utama dan berjaya mengekalkan kedudukan hadapan sejak awal, diikuti Verstappen. Di belakang mereka, pelumba Williams, Alex Albon, tersasar ke kawasan rumput selepas bermula di petak kesembilan, manakala Franco Colapinto (Alpine) sempat mencuri tumpuan sebelum kehilangan posisi.

Norris yang bermula dengan tayar keras mendahului pada pusingan ke-16 selepas pelumba lain masuk pit lebih awal. Namun selepas berhenti di pit pada pusingan ke-29, beliau kembali ke trek di tempat kelima di belakang Piastri.

Sementara itu, Leclerc mempertikai keputusan strategi Ferrari untuk menukarnya kepada tayar baharu pada pusingan sama, sedangkan tayar asalnya masih dalam keadaan baik.

Hamilton pula berdepan isu prestasi dengan keretanya dan dilaporkan mengalami kerosakan ringan, menyukarkan peluangnya untuk mencabar kedudukan podium.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE