OAKMONT, 16 Jun- Pemain golf Amerika Syarikat, J.J. Spaun mencipta kejutan apabila merangkul kejuaraan utama pertama dalam kariernya selepas muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (US Open) di Oakmont, pagi tadi.
Spaun, 34, menamatkan saingan 72 lubang dengan catatan keseluruhan satu bawah par 279 meskipun mencatat lima bogey dalam enam lubang pertama pada pusingan akhir.
Beliau bangkit dengan mencatat empat birdie dalam tujuh lubang terakhir termasuk pukulan birdie sejauh 65 kaki di lubang ke-18, yang menjadi penentu kemenangan dua pukulan mengatasi wakil Scotland, Robert MacIntyre. Pemain Norway, Viktor Hovland pula menduduki tempat ketiga dengan catatan 282.
Antara detik cemerlang Spaun termasuk birdie sejauh 40 kaki di lubang ke-12, birdie 22 kaki di lubang ke-14 dan tap-in birdie penting di lubang ke-17 selepas bogey di lubang ke-15.
Sebaik melengkapkan pukulan terakhir, Spaun dilihat menitiskan air mata ketika penonton memberikan tepukan gemuruh dan menyebut namanya berulang kali.
Sebelum ini, satu-satunya kejuaraan PGA Tour yang dimenanginya ialah di Terbuka Texas pada tahun 2022.-REUTERS