fb fb fb fb fb

PSG buka kempen Piala Dunia Kelab penuh gaya, atasi Atletico 4-0

Lee Kang-in (kiri) menutup malam gemilang Paris Saint-Germain dengan menyempurnakan sepakan penalti di masa kecederaan / REUTERS

PASADENA, 16 Jun- Juara Liga Juara-Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen Piala Dunia Kelab dengan langkah kanan selepas membelasah gergasi LaLiga, Atletico Madrid 4-0 di Rose Bowl, Pasadena.

Dalam aksi pertama mereka sejak menewaskan Inter Milan 5-0 bulan lalu untuk merangkul kejuaraan Eropah pertama, PSG tampil penuh keyakinan apabila membuka jaringan menerusi rembatan jarak jauh Fabian Ruiz pada minit ke-19.

Skuad kendalian Luis Enrique itu menggandakan kelebihan sebelum tamat separuh masa pertama apabila kesilapan Antoine Griezmann mencetuskan serangan balas pantas, disempurnakan oleh Vitinha di bawah terik matahari California.

Atletico kelihatan berjaya merapatkan jurang apabila Julian Alvarez menjaringkan gol pada minit ke-57, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR menunjukkan Koke mengasari Desire Doue.

Pemain gantian, Senny Mayulu, menambah gol ketiga PSG pada minit ke-87 sekali gus memadamkan sisa-sisa kebangkitan Atletico, sebelum Lee Kang-in melengkapkan malam gemilang PSG dengan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Kemenangan bergaya itu meletakkan PSG sebagai pencabar utama dalam saingan Kumpulan B Piala Dunia Kelab edisi kali ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE