NEW JERSEY, 16 Jun- Palmeiras dan Porto terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan 0-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, awal pagi tadi.
Walaupun aksi berlangsung sengit dan menghiburkan, kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan deretan peluang yang hadir, dengan benteng terakhir Porto, Claudio Ramos, menjadi watak utama menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada wakil Brazil itu.
Keputusan itu menyaksikan kesemua empat pasukan dalam Kumpulan A termasuk Inter Miami yang diketuai Lionel Messi dan kelab gergasi Mesir, Al Ahly kini terikat dengan satu mata selepas kedua-duanya juga seri 0-0 dalam aksi pembuka tirai pada Sabtu.
Persaingan dalam kumpulan dilihat terbuka luas dengan setiap pasukan masih berpeluang merebut tempat ke pusingan seterusnya.