fb fb fb fb fb

Ronaldo umum pencen selepas kempen Piala Dunia 2026

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo / AFP

RIYADH, 11 November - Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, pada Selasa mengesahkan Piala Dunia 2026 bakal menjadi kempen terakhirnya sebelum menamatkan salah satu kerjaya bola sepak terhebat sepanjang zaman.

Penyerang berusia 40 tahun itu, yang telah menjaringkan lebih 950 gol di peringkat kelab dan antarabangsa, berkata beliau akan bersara daripada bola sepak dalam “satu atau dua tahun”.

“Sudah pasti, ya,” katanya melalui pautan video pada forum di Arab Saudi, apabila ditanya sama ada 2026 menjadi Piala Dunia terakhirnya. “Saya akan berusia 41 tahun dan saya rasa itulah masanya.”

Ronaldo yang memulakan kariernya di Al Nassr, Arab Saudi pada 2023, berkata beliau masih berharap untuk bermain pada Piala Dunia keenam tahun depan. Portugal masih belum layak ke kejohanan 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, tetapi berpeluang memastikan tempat jika menewaskan Ireland pada Khamis.

Bulan lalu, Ronaldo menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah kelayakan Piala Dunia dengan 41 gol, melepasi rekod bekas pemain Guatemala, Carlos Ruiz, manakala beliau juga memegang rekod penjaring terbanyak antarabangsa dengan 143 gol.

Ronaldo menyertai Al Nassr selepas meninggalkan Manchester United buat kali kedua pada akhir 2022, menandakan kemasukan beberapa bintang veteran ke liga kaya minyak itu.

Dengan pendapatan keseluruhan dianggarkan $280 juta, beliau kini tercatat sebagai pemain bola sepak pertama yang bergelar bilionair dan mendahului senarai Forbes pemain bola sepak bergaji tertinggi buat kali keenam dalam sedekad.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE