fb fb fb fb fb

Vietnam tuan rumah Kejohanan E-Sukan Asia buat kali pertama

FOTO HIASAN

HANOI, 11 November - Vietnam akan menganjurkan Kejohanan E-Sukan Asia (ECA 2025) buat kali pertama dari 19 hingga 22 November di bandar Can Tho, Delta Mekong, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Persatuan Sukan Rekreasi dan Elektronik Vietnam (VIRESA) berkata acara itu menandakan pencapaian penting dalam peningkatan kehadiran negara itu di pentas e-sukan global.

Acara tahunan peringkat benua itu akan menampilkan kira-kira 100 atlet dari tujuh negara iaitu China, Korea Selatan, Jepun, Filipina, Laos, Thailand dan Vietnam. Pertandingan akan merangkumi permainan video League of Legends dan CrossFire, selain disiplin pertunjukan Stepin Digital Dance. Pasukan kebangsaan Vietnam yang terdiri daripada 16 ahli akan menyertai ketiga-tiga acara berkenaan.

Selain perlawanan, ECA 2025 turut menampilkan program jaringan perniagaan, majlis menandatangani kerjasama antarabangsa dan simposium E-sukan Asia. Acara itu juga bertujuan mempromosikan identiti budaya dan pelancongan Vietnam dengan menghubungkan sukan digital kepada warisan serta kreativiti tempatan.

Penganjuran ECA 2025 dijangka dapat merangsang industri hiburan digital Vietnam, menarik pelaburan daripada syarikat teknologi dan sukan elektronik serantau, serta meningkatkan keupayaan negara itu dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.

Kejohanan ECA sebelum ini diadakan secara bergilir-gilir di China dan Korea Selatan sepanjang empat tahun lalu, dan telah menjadi simbol kerjasama serta pertumbuhan mampan dalam komuniti e-sukan Asia.

Membawa kejohanan itu ke Vietnam menggariskan usaha negara berkenaan untuk menjadi hab baharu bagi e-sukan di rantau ini, menurut VNA.- BERNAMA-VNA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE