fb fb fb fb fb

RM20 juta diperuntuk bagi pembangunan lapan sukan berpotensi Olimpik

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA

PETALING JAYA, 21 Februari- RM20 juta diperuntuk bagi pembangunan lapan jenis sukan berpotensi di temasya Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan peruntukan antara lain tumpu pembangunan bakat.

Lapan sukan tersebut melibatkan renang, akuatik terjun, olahraga, skuasy, berbasikal, badminton, taekwondo dan memanah.

"Kita telah buat keputusan untuk bida kepada MOF, minta duit untuk pembangunan bakat yang sama seperti NHDP tetapi untuk lapan Sukan Olimpik yang telah kita pilih dan lapan sukan itu mempunyai bakat dan potensi.

RM20 juta ini kita tidak agihkan sama rata kepada lapan jenis sukan, bukan semua sukan perlu dana sama. Hasrat kita dengan adanya suntikan dana ni terhadap sukan yang ada potensi besar," kata Hannah kepada pemberita.

Dalam perkembangan lain, Hannah memaklumkan hala tuju jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan diumumkan secara bersama.

Tarikhnya akan diputuskan kemudian.

"Saya sudah berjumpa dengan beliau. Kita telah adakan perbincangan yang bagus tetapi hasil perbincangan tersebut kita sedang meneliti dan bila masa yang sesuai kita akan umumkan bersama. Kini, kita di fasa sedang perbincangan," tambah Hannah.

Terdahulu, atlet berusia 37 tahun itu dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hannah sebelum memberi kata putus berhubung masa depannya.

The Pocket Rocketman sebelum ini mengesahkan tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional, Negeri Sembilan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM