fb fb fb fb fb

Anugerah Sukan Pekak Negara: KBS peruntuk insentif atlet cemerlang

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Persatuan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) buat julung kalinya berjaya mengadakan Anugerah Sukan Pekak Negara.

Majlis itu diadakan untuk memberi apresiasi kepada semua atlet pekak negara dan pihak yang terlibat dalam memartabatkan sukan orang pekak.

Menurut Ketua Setiausaha KBS, Dr. K Nagulendran, anugerah berkenaan berjaya direalisasikan dengan insentif khas diperuntukkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Justeru, dengan itu melalui Majlis Sukan Negara (MSN) juga kita telah sediakan dana sebanyak RM108,000 sebagai insentif khas pada mereka yang telah memenangi pingat emas, perak dan gangsa.

Ini cuma sebagai sedikit insentif untuk mereka cemerlang lebih lagi di kejohanan lain," kata Dr. K Nagulendran kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata KBS juga akan terus beri sokongan dalam persiapan kontinjen sukan Pekak Malaysia bagi menghadapi Deaflympic Tokyo, Jepun yang akan berlangsung November ini.

Sementara itu, pada Majlis Anugerah Sukan Pekak Negara 2024 yang berlangsung di ibu negara malam tadi, menyaksikan Mohd Zaidi Awang dari sukan boling dinobatkan sebagai Olahragawan MSDeaf manakala Boon Wei Ying dari sukan badminton diumumkan sebagai Olahragawati.

"Saya gembira dan saya memang terkejut sebab tak sangka saya boleh dapat anugerah ini," kata Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi juga bertekad membuat yang terbaik dalam memburu pingat emas di temasya Deaflympic Tokyo nanti.

Atlet berusia 53 tahun itu aktif dalam sukan boling sejak 1987 dan terlibat dalam banyak kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia optimis mencipta lebih banyak kejayaan dalam Deaflympic Tokyo 2025.

Presidennya, Dr.Ong Shin Ruenn berkata ketika ini, kesemua atlet yang layak bertanding sedang menjalani latihan pusat sejak tahun lalu.

Menurutnya, kontinjen negara menyasarkan lebih banyak pingat emas.

"Di Brazil, Deaflympic kita dapat dua pingat emas dan untuk di Jepun, saya ingat kita perlu tambah pingat lagi. Pingat emas dalam Deaflympic di Jepun," kata Dr. Ong Shin Ruenn.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM