KOTA BHARU, 19 Mac- Menjelang musim baru Liga Super musim 2024-2025, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengumumkan Rezal Zambery Yahya sebagai penolong ketua jurulatih pasukan itu.
Berita baik itu diumumkan pengurusan Kijang Emas menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka malam tadi.
Rezal sebelum ini menggalas peranan sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi KDN FC ketika pasukan itu dikenali sebagai Kelantan United FC.
Selain Rezal, pengurusan Kijang Emas turut mengumumkan pelantikan Ashadi Mohd Yusof sebagai penolong jurulatih dan Abdul Rahman Baba sebagai jurulatih penjaga gol.
Pada musim 2023, pasukan itu menggunakan khidmat jurulatih Republik Czech, Tomas Trucha sebelum membawa masuk jurulatih Brazil, Ailton Silva.