KUALA LUMPUR, 20 Mac - KL City mengumumkan pelantikan Miroslav Kuljanac sebagai ketua jurulatih baharu skuad City Boys bagi menggantikan Nenad Bacina.
Kuljanac atau lebih dikenali sebagai Kuljo adalah pembantu kepada bekas pengendali KL City, Bojan Hodak sebelum ini.
Perlantikan jurulatih Croatia berusia 53 tahun itu diumumkan KL City menerusi platform media sosial mereka.
Kuljanac dalam satu kenyataan melihat tanggungjawab itu sebagai satu penghormatan kepada dirinya.
Beliau berharap dapat terus mengulangi kecemerlangan yang diraih KL City sejak beberapa musim lalu.
Sementara itu, Selangor FC turut dijangka membawa masuk pembantu jurulatih baharu bagi memantapkan pasukan untuk menghadapi saingan musim ini.
Menurut Pengurus pasukan Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, ketika ini pihaknya sedang meneliti beberapa calon bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan kombinasi barisan kejurulatihan musim ini terdiri daripada ketua jurulatih tempatan dan pembantu import seperti dilakukan musim lepas.
Sabtu lepas, Nidzam Jamil diumum secara rasmi sebagai ketua jurulatih Selangor FC bagi musim 2024/2025.