ABUJA, 28 April- Remo Stars mencipta sejarah pada Ahad dengan menjuarai Liga Bola Sepak Profesional Nigeria (NPFL) buat pertama kalinya dalam sejarah kelab itu.
The Sky Blue Stars menewaskan Niger Tornadoes dengan gol lewat permainan oleh Adebayo Olamilekan, menjadikan mereka sebagai kelab swasta pertama yang meraih gelaran juara sejak Udoji United pada 1996.
Kejuaraan tersebut diraikan pada ulang tahun ke-59 pemilik kelab, Kunle Soname, seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam pelbagai sektor, termasuk penerbangan dan industri perjudian.
Dengan 68 mata daripada 35 perlawanan, Remo Stars kini tidak dapat dicabar, mendahului Rivers United dengan kelebihan 10 mata, dengan tiga perlawanan lagi untuk dimainkan musim ini.
Kelab tersebut telah berada di tempat kedua dalam dua musim terakhir.
Ditubuhkan 15 tahun lalu sebagai FC Dender di Lagos, kelab berkenaan berpindah ke negeri Ogun dan menukar nama kepada Remo Stars pada tahun 2011.
Remo Stars kini akan mewakili Nigeria dalam Liga Juara-Juara CAF tahun depan bersama pasukan naib juara, manakala pasukan tempat ketiga akan beraksi dalam Piala Konfederasi CAF.-AFP