fb fb fb fb fb

Real Madrid menang 4-2, layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara

Foto AFP

MADRID, 30 November- Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid menang 4-2 ke atas Napoli pada Rabu, untuk menjadi juara kumpulan C dalam kempen Liga Juara-Juara.

Napoli yang kalah, akur ditempat kedua namun wakil Itali itu bakal membuat perhitungan dengan Braga menerusi aksi terakhir kumpulan dalam menentukan pasukan yang layak ke pusingan 16.

Juara rekod 14 kali, Madrid telah mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya dengan kutipan 15 mata sebagai juara, mencipta kemenangan menghiburkan ke atas pasukan pelawat itu.

Giovanni Simeone meletakkan Napoli di hadapan lebih awal, dengan Rodrygo dan Jude Bellingham pantas menjaringkan gol untuk mengubah permainan.

Andre-Frank Zambo Anguissa menyamakan kedudukan untuk pelawat selepas separuh masa pertama tetapi pemain muda Madrid, Nico Paz meletakkan Madrid kembali didepan pada minit ke-84 sebelum Joselu melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan.

"Saya sangat gembira, ini adalah mimpi seketika.Saya tidak percaya."

"Rakan sepasukan saya mungkin lebih gembira daripada saya, dan saya berterima kasih kepada mereka atas sokongan mereka," kata Paz kepada Movistar selepas membantu Madrid mempertahankan rekod lima kemenangan daripada lima perlawanan.

Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti menyatakan kegembiraan terhadap prestasi anak buahnya dan mengingatkan agar pasukan terus kekal fokus.

"Tiada siapa boleh membayangkan Bellingham menyesuaikan diri seperti ini di sini, dalam bola sepak ini, di kelab baharu ini, dia mengejutkan semua orang. Dia hebat apabila tiba di dalam kotak, dia seperti motosikal yang tiba di kawasan itu."

“Paz seorang yang berbakat. Anak muda daripada akademi remaja yang bekerja dengan kami. Dia menjaringkan gol penting, untuk dia dan untuk kami,” kata Ancelotti kepada Movistar.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu disifatkan sebagai bintang masa depan dan memberi kesan yang cukup baik pada penampilan kedua dalam Liga Juara-Juara.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM