fb fb fb fb fb

Liga Juara-Juara, Tuchel tagih prestasi terbaik anak buahnya

Foto AFP

MUNICH, 30 November- Bayern Munich terikat seri 0-0 di tempat sendiri ketika berdepan Copenhagen dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu.

Pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan untuk dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan namun dinafikan rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR).

Semakan VAR menunjukkan sentuhan di bahagian atas lengan dan bahu, pengadil Stephanie Frappart menarik balik penalti itu, walaupun bantahan dibuat penyerang, Harry Kane dan pengurus tuan rumah, Thomas Tuchel.

Pemain veteran Bayern, Thomas Mueller memberitahu DAZN bahawa keputusan itu tidak konsisten dengan keputusan kontroversi bola terkena tangan yang diberikan menentang Newcastle dan Borussia Dortmund dalam perlawanan Selasa.

“Saya tidak begitu arif dengan peraturan tetapi jika dibandingkan dengan semalam, ia agak pelik," kata Mueller.

Meski Bayern kehilangan mata dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara, skuad The Bavarians itu layak ke pusingan 16 terakhir selepas mengungguli carta kumpulan.

Pengendali Bayern, Thomas Tuchel berkata pasukannya boleh mempamerkan aksi lebih baik.

"Kami tidak cukup keserasian dan kami tidak mengambil risiko yang mencukupi."

Keputusan itu digabungkan dengan keputusan seri 3-3 Manchester United di Galatasaray, bermakna Copenhagen menduduki tempat kedua dalam kumpulan dengan baki perlawanan.

Skuad Denmark itu boleh layak ke pusingan 16 terakhir buat kali kedua dalam sejarah mereka dengan mengelak kekalahan di tempat sendiri kepada Galatasaray pada Disember.

Bayern akan bertandang ke Manchester pada Disember, dengan tuan rumah menduduki tempat terakhir dalam kumpulan.

Walaupun keputusan seri, Bayern menamatkan 17 kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan dan meneruskan rentak tanpa kalah mereka di peringkat kumpulan kepada rekod 39 perlawanan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM