RABAT, 12 Februari- Real Madrid dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Kelab kali kelima selepas berjaya menewaskan Al-Hilal, 5-3.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Putera Moulay Abdellah, Maghribi itu menyaksikan trio Real Madrid, Federico Valverde, Vinicius Jr dan Karim Benzema mendominasi serangan bertali arus.
Vinicius Jr dan Valverde masing-masing menyumbang dua gol manakala Karim Benzema yang kembali cergas selepas mengalami kecederaan turut menjaringkan satu gol.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti, yang layak ke kejohanan itu sebagai pemenang Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, mempamerkan kualiti serangan yang sukar dihalang pihak lawan.
Kemenangan itu sekali gus memberikan trofi kedua Real pada musim ini selepas memenangi Piala Super Eropah, Januari lalu.
“Kami sangat gembira menjadi juara dunia buat kali kelapan. Itulah yang perlu kami lakukan.
"Kami gembira, ia adalah permainan yang bagus. Saya fikir kami bagus di hadapan dengan Vinicius, Karim dan Valverde dan di atas padang, pasukan mempunyai mobiliti dan kualiti," kata Ancelotti kepada Telecinco.
Ia juga membenarkan Real untuk berehat seketika daripada saingan La Liga yang terpaksa akur ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona.
Real pernah memenangi tiga Piala Antara Benua pada 1960, 1998 dan 2002, perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan, yang digabungkan dengan Piala Dunia Kelab pada 2005.
Pemenang Copa Libertadores dari Brazil, Flamengo menduduki tempat ketiga selepas menewaskan kelab Mesir, Al Ahly 4-2.-AFP
(FOTO AFP)