fb fb fb fb fb

Real Madrid buru Piala Eropah ke-15

MADRID, 30 Mei- Kejayaan pasukan Liga Sepanyol, Real Madrid menjulang Piala Liga Juara-Juara baru-baru ini telah membuktikan kecemerlangan pemain dan barisan kejurulatihan sedia ada.

Oleh itu, Presiden Real Madrid, Florentino Perez meletakkan sasaran baharu pasukan untuk terus memburu Piala Eropah ke-15 buat kelab, ujarnya ketika meraikan kemenangan bersama penyokong di ibu negara.

Sabtu lalu, Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 di Stade de France, menerusi jaringan penyerang berbisanya, Vinicius Junior bagi memastikan gelaran Liga Juara-Juara Eropah kelima dalam tempoh sembilan musim.

"Real Madrid mencipta sejarah lagi dan ini adalah Piala Eropah ke-14 dan trofi La Liga ke-35 kami," kata Perez ketika ditemui media.

"Piala Eropah ini yang dimenangi ke atas kelab legenda seperti Liverpool, akan dikenang sebagai antara sejarah hebat Liga Juara-Juara Eropah.

"Legenda kelab ini semakin membesar. Kami menewaskan empat kelab terbaik di Eropah dengan semangat melawan dan sentiasa percaya sehingga ke akhir perlawanan.

Perez turut memuji jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti yang muncul jurulatih pertama menang empat Piala Eropah dan yang pertama memenangi gelaran di lima liga utama Eropah.

"Ia adalah musim yang indah dan dicapai menerusi satu daripada tempoh paling cantik dan sukar dalam sejarah kami. Lima gelaran Eropah dalam tempoh lapan tahun pasti sukar dilupakan peminat bola sepak di seluruh dunia. Madrid adalah abadi, jadi sekarang, kita buru piala ke-15 pula," tambah Perez.


(Foto AFP)

Kemenangan skuad La Casa Blanca dirai penuh gilang gemilang bersama penyokong selain peminat kelab berkenaan turut disantuni pemain dengan sesi fotografi serta sesi tanda tangan pemain.

Perkataan 'Champions' serta nomborĀ 14 yang tertera pada bas merupakan satu simbolik kejayaan mereka merebut gelaran tersebut selama 14 kali.

Kapten pasukan, Karim Benzema dan Marcelo memegang trofi Liga Juara-Juara Eropah manakala Luka Modric dan Nacho Fernandez membawa trofi La Liga semasa perarakan.-AFP

Media Baharu