SUNGAI BULOH, 8 Julai –Persiapan skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand menerima suntikan penting apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tampil menaja pasukan berjumlah RM200,000.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad, menyifatkan kerjasama strategik itu sebagai pemangkin kepada usaha memburu pingat emas, sekali gus memperkukuh keupayaan pasukan lelaki dan wanita yang sedang menjalani latihan intensif menjelang kejohanan-kejohanan utama di peringkat Asia.
“Penajaan ini hadir tepat pada masanya ketika pasukan sedang berdepan pelbagai cabaran logistik dan teknikal. Dengan bantuan ini, insya-Allah banyak kekurangan dapat diatasi.
“Kami berharap kerjasama ini akan membuka jalan kepada lebih banyak syarikat korporat menyokong skuad Bunga Raya,” katanya pada sidang media Majlis Penajaan Rasmi Antara HLYM dan KRM di Kompleks Hong Leong Yamaha, di sini hari ini.
Kali terakhir Malaysia mencatat kejayaan membanggakan dalam acara ini adalah pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur apabila skuad lelaki meraih pingat emas, manakala pasukan wanita membawa pulang gangsa.
“Dengan sokongan berterusan seperti ini, saya percaya ia mampu menyuntik semangat baharu dan keyakinan tinggi dalam kalangan pemain,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr. Jim Khor berkata, pihaknya melihat nilai-nilai yang dibawa dalam sukan ragbi seperti semangat juang, ketabahan dan kerjasama sebagai sejajar dengan prinsip jenama Yamaha.
“Kami berharap sumbangan ini dapat memenuhi keperluan penting pasukan termasuk aspek latihan, pemakanan dan elaun atlet menjelang temasya di Thailand,” katanya.