fb fb fb fb fb

Real Madrid akan terus menang tanpa Mbappe - Casemiro

(Kylian Mbappe/REUTERS)

MADRID, 25 Mei - Pemain tengah Real Madrid, Casemiro yakin juara La Liga Sepanyol itu akan terus berjaya tanpa Kylian Mbappe selepas penyerang itu memutuskan untuk kekal di Paris Saint Germain.

"Kelab ini bukan mengenai pemain, kelab ini adalah mengenai sejarah," kata Casemiro.

“Pemain boleh mewarnai era tertentu seperti Alfredo di Stefano, Cristiano (Ronaldo), tetapi kelab ini akan terus menang kerana pemain sangat penting, tetapi apa yang menang adalah kelab. Penyokong mungkin sedih, tetapi dengan apa yang kami ada kelab ini akan terus menang,” katanya.

(Pemain tengah Real Madrid, Casemiro yakin juara La Liga Sepanyol itu
akan terus berjaya tanpa Kylian Mbappe/AFP)

Real sebelum ini dilaporkan terdesak untuk menandatangani Mbappe apabila kontraknya tamat pada musim panas tetapi penyerang itu menolak perpindahan ke Sepanyol, sebaliknya memilih untuk menandatangani perjanjian baharu selama tiga tahun bersama PSG.

Mbappe menjaringkan gol ketika menentang Real Madrid dalam kedua-dua perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara Eropah musim ini dan dipuji penyokong tuan rumah di Santiago Bernabeu pada Mac.

“Dia pemain yang hebat, yang membuatkan kami bekerja keras dalam kedua-dua perlawanan,” kata Casemiro.

“Perkara kedua adalah rasa hormat. Jika dia telah membuat keputusan itu, kita perlu menghormatinya, kita perlu sedar bahawa dia telah membuat keputusan itu bersama keluarganya dan kita tidak boleh lagi bercakap tentang pemain yang bukan milik Real Madrid," tambahnya. -AFP

Media Baharu