LA ROCHELLE, 19 Februari- Pemain ragbi Afrika Selatan, Raymond Rhule, yang tidak beraksi selama 10 bulan akibat kecederaan lutut, mengumumkan persaraannya daripada sukan ragbi, menurut kelab Perancis, La Rochelle, pada Selasa.
Pemain berusia 32 tahun itu disahkan tidak layak untuk sukan berprestasi tinggi dan terpaksa menamatkan kariernya atas faktor kesihatan.
“Saya perlu lakukan ini. Saya sudah lama tidak beraksi di padang,” kata Rhule dalam satu video yang dimuat naik kelabnya.
Rhule, yang pernah meraih kejuaraan dunia bawah 20 tahun, mencatat tujuh penampilan bersama Springboks pada 2016 sebelum berpindah ke kelab Grenoble pada 2018.
Beliau kemudian menyertai La Rochelle pada 2020 dan menjadi sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala Juara-Juara Eropah pada 2022 serta 2023.
Bagaimanapun, kecederaan lutut dan achilles menyaksikan beliau hanya beraksi dalam dua perlawanan dalam tempoh satu setengah tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara.-AFP