fb fb fb fb fb

Liga Juara: Hatrik Mbappe bantu 'Los Blancos' lolos ke 16 terakhir

Pemain Real Madrid, Kaylian Mbappe (tengah) pada perlawanan 'Playoff' Liga Juara Eropah menentang Manchester City / Foto REUTERS

MADRID, 20 Februari-Kylian Mbappe mempamerkan aksi menakjubkan selepas meledak hatrik bagi membantu juara bertahan Liga Juara Eropah, Real Madrid menewaskan Manchester City 3-1 pada Rabu.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan gergasi Sepanyol itu mara ke pusingan 16 terakhir dengan agregat 6-3.

Skuad kendalian Pep Guardiola, yang terpaksa beraksi tanpa penyerang utama Erling Haaland, tersingkir selepas gagal memberikan saingan kepada juara 15 kali Liga Juara itu.

City hanya berjaya meraih gol saguhati menerusi jaringan Nico Gonzalez pada masa kecederaan.

Pada perlawanan tersebut, Mbappe membuka tirai jaringan seawal minit keempat dengan satu sungkitan menarik sebelum menggandakan kelebihan menerusi satu gerakan yang kemas pada minit ke-33.

Penyerang Perancis itu kemudiannya melengkapkan hatrik pada babak kedua pada minit ke-60 dengan rembatan rendah dari luar kotak penalti sekali gus menjadikan gol peribadi ketujuh dalam saingan musim ini daripada 10 penampilan.

"Kami mahu menang dan mara kerana bagi kami, adalah perkara biasa untuk Real Madrid berada di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara," kata Mbappe kepada Movistar.

Bintang Perancis itu kini telah menjaringkan 28 gol musim ini, termasuk 18 dalam 18 perlawanan terakhir merentasi semua pertandingan.

"Saya pernah katakan sebelum ini, saya tidak datang ke Real Madrid untuk bermain dengan teruk," tambah Mbappe.

"Menjadikan impian saya satu kenyataan adalah satu perkara, tetapi saya mahu bermain dengan baik di sini, mencipta era dan melakar sejarah bersama Real Madrid."

Sementara itu, Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata pasukannya gagal memberikan aksi terbaik mereka musim ini.

"Pasukan terbaik menang, mereka layak berada di sana dan kami tidak," akui Guardiola kepada Movistar.

"Kami melalui musim yang buruk dalam kejohanan ini, apabila anda tamat di tempat ke-22 itu bermaksud kami tidak cukup baik.

"Ia adalah musim terburuk kami.Sebelum ini, kami sebuah pasukan yang luar biasa, tetapi tahun ini, atas banyak sebab, kami telah kehilangan konsistensi itu."

City menerima tamparan awal apabila Haaland hanya diletakkan di bangku simpanan selepas mengalami kecederaan ringan ketika menentang Newcastle hujung minggu lalu.

Kekalahan tersebut menyaksikan City telah tewas 13 daripada 26 perlawanan mereka musim ini dalam semua pertandingan.

Mereka kini berdepan misi getir menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, hujung minggu ini sambil bergelut untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas.-AFP

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD