fb fb fb fb fb

Parma lantik Cristian Chivu sebagai pengurus baharu

Ketua jurulatih baharu Parma, Cristian Chivu / Foto Instagram Parmacalcio1913

ROM,19 Februari – Parma telah melantik Cristian Chivu sebagai pengurus baharu bagi menggantikan Fabio Pecchia, umum kelab Serie A itu pada Selasa.

Ini merupakan jawatan pengurusan senior pertama bagi jurulatih berusia 44 tahun dari Romania itu.

Sebelum ini, Chivu pernah membimbing pasukan remaja di Inter Milan, kelab yang menyaksikan beliau menamatkan karier sebagai pemain, dari tahun 2018 hingga 2024.

Parma berpisah dengan Pecchia pada Isnin selepas kekalahan keempat berturut-turut menyebabkan pasukan itu kekal dalam zon penyingkiran.

Pecchia telah mengendalikan kelab sejak 2022 dan berjaya membawa Parma layak ke Serie A dari Serie B pada penghujung musim lalu.

"Chivu, bersama staf kejurulatihannya yang terdiri daripada Antonio Gagliardi (penolong pengurus), Angelo Palombo (pembantu teknikal), dan Nicola Pavarini (jurulatih penjaga gol), akan memulakan sesi latihan bersama pasukan petang ini di Mutti Training Center," kata Parma dalam satu kenyataan.

Perlawanan pertama Chivu sebagai pengurus akan berlangsung pada Ahad, menyaksikan Parma akan menanti kunjungan Bologna di laman sendiri.

Parma kini berada di tangga ke-18 Serie A dengan 20 mata selepas 25 perlawanan, namun hanya ketinggalan satu mata di belakang Empoli yang berada di tangga ke-17, iaitu di luar zon penyingkiran.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD