fb fb fb fb fb

Rasuah: Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan China dipenjara 20 tahun

Bekas jurulatih bola sepak pasukan China, Li Tie dijatuhi hukuman penjara selepas terbabit rasuah / Foto REUTERS

BEIJING, 13 Disember-Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan lelaki China, Li Tie, telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun atas tuduhan rasuah, lapor media rasmi China pada Jumaat.

Li, yang pernah bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris Everton, dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun pada perbicaraan awal, menurut agensi berita rasmi Xinhua, tanpa memberikan butiran lanjut.

Presiden China, Xi Jinping, telah melancarkan kempen besar-besaran membanteras rasuah sejak mengambil alih kuasa lebih sedekad lalu.

Pada 2022, pihak berkuasa antirasuah mula memberi tumpuan kepada industri sukan, dengan beberapa sabitan terhadap bekas pentadbir bola sepak diumumkan minggu ini.

Li, yang menjadi jurulatih pasukan kebangsaan dari Januari 2020 hingga Disember 2021, mengaku bersalah awal tahun ini kerana menerima rasuah berjumlah lebih AS$10 juta.

Pada Januari lalu, Li tampil dalam sebuah dokumentari yang disiarkan oleh penyiar negara CCTV, yang membongkar rasuah meluas dalam bola sepak China.

Dalam program berkenaan, Li turut mengaku mengatur perlawanan membabitkan nilai hampir AS$421,000 untuk mendapatkan jawatan ketua jurulatih dan terlibat dalam mengatur perlawanan ketika menjadi jurulatih kelab dalam Liga Super China.

"Saya sangat menyesal. Saya sepatutnya kekal berpegang kepada prinsip dan mengikuti jalan yang betul," kata Li dalam rancangan tersebut.

"Ada perkara yang pada masa itu dianggap sebagai amalan biasa dalam bola sepak."

Li pernah bermain hampir 100 perlawanan untuk pasukan kebangsaan China.

Dalam pada itu, pihak berkuasa China turut mengumumkan beberapa sabitan rasuah minggu ini.

Media rasmi melaporkan bahawa bekas timbalan ketua pentadbiran sukan kebangsaan juga dijangka dijatuhi hukuman pada Jumaat.

Pada Rabu, Liu Yi, bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak China (CFA), dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan denda 3.6 juta yuan (AS$495,000) kerana menerima rasuah.

Pada hari yang sama, bekas ketua pejabat pengurusan pengadil CFA, Tan Hai, dijatuhi hukuman penjara enam setengah tahun dan denda 200,000 yuan atas jenayah yang sama.

Pada Selasa, Qi Jun, bekas ketua perancangan strategik CFA, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda 600,000 yuan.

Bekas ketua CFA, Chen Xuyuan, telah dipenjara seumur hidup pada Mac lalu kerana menerima rasuah.AFP.

Kempen Xi membanteras rasuah dikatakan menyokong pentadbiran yang bersih, tetapi para pengkritik mendakwa ia juga digunakan sebagai cara untuk menyingkirkan pesaing politik.

Xi, yang mengaku sebagai peminat bola sepak, pernah menyatakan hasratnya untuk melihat China menjadi tuan rumah dan memenangi Piala Dunia suatu hari nanti.

Namun, pasukan bola sepak lelaki China terus gagal menyerlah, dengan kedudukan terkini FIFA  meletakkan China di tangga ke-90 dunia, satu tempat di atas Curacao, sebuah pulau kecil di Caribbean.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD