PLZEN, 13 Disember-Penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund, menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan satu gol dan mencatat kemenangan 2-1 ke atas juara enam kali Liga Czech, Viktoria Plzen, dalam aksi Liga Europa pada Khamis.
Hojlund, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan separuh masa kedua oleh pemain Viktoria Plezen, Matej Vydra.
Dia kemudiannya memastikan kemenangan United dengan jaringan kedua sebelum tamat perlawanan, sekali gus memberikan United kemenangan ketiga berturut-turut dalam kejohanan tersebut.
Pada perlawanan berkenaan, Plzen, yang hanya bolos sekali dalam 12 perlawanan Eropah di laman sendiri sebelum ini, memberikan tekanan awal kepada United.
Namun, United bertahan dengan baik dalam perlawanan pertama Eropah di bawah kendalian Ruben Amorim.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Vydra meletakkan tuan rumah di hadapan sebaik separuh masa kedua bermula, apabila menyudahkan hantaran Pavel Sulc susulan hantaran lemah daripada penjaga gol United, Andre Onana.
Bagaimanapun, kegembiraan Plzen tidak bertahan lama.
Penyerang Denmark, Hojlund, yang masuk menggantikan Marcus Rashford pada minit ke-56, menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan bola muntah daripada percubaan Amad Diallo.
Gol kemenangan tiba pada minit ke-88, apabila sepakan percuma oleh kapten Bruno Fernandes menemui Hojlund, yang dengan tenang menjaringkan gol untuk menamatkan rekod tanpa kalah Plzen dalam kejohanan tersebut.
United akan bertemu Manchester City dalam aksi Liga Perdana pada Ahad sebelum melayan kunjungan Rangers pada 23 Januari dan menamatkan saingan peringkat liga di tempat lawan menentang Steaua Bucharest seminggu kemudian.-REUTERS.