KUALA LUMPUR, 17 Julai – Penyerang baharu DPMM FC, Ramadhan Sananta menyifatkan kehadiran ramai pemain bintang dalam Liga Malaysia sebagai faktor utama yang mendorongnya untuk mencabar diri bersama kelab dari Brunei Darussalam musim ini.
Ramadhan, 23, merupakan antara penyerang prolifik Indonesia dan kini memulakan lembaran baharu dalam kariernya apabila menyertai saingan Liga Malaysia buat kali pertama.
Menurutnya, kualiti tinggi yang dimiliki oleh kelab-kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC menjadi pendorong utama untuk keluar dari zon selesa di tanah airnya.
“Saya tertarik untuk ke sini kerana tahu Liga Malaysia menawarkan saingan yang sengit antara kelab-kelabnya,” katanya.
“Saya rasa ini masa terbaik untuk mencuba sesuatu yang baharu dan sebagai penyerang, saya ingin bantu DPMM FC mencipta impak besar,” jelas Ramadhan yang sudah tidak sabar memulakan aksi kompetitif apabila liga bersambung Ogos ini.
Ramadhan Sananta
Antara pemain yang menjadi perhatian Ramadhan ialah tonggak muda JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi, yang disifatkannya sebagai ancaman utama, serta Moussa Sidibe, pemain sayap JDT yang juga pernah menjadi rakan sepasukannya di Persis Solo.
“Saya juga tidak sabar hendak bertemu semula dengan Moussa dan melihat kemampuan Arif Aiman serta ramai lagi pemain hebat di sini,” tambahnya.
Nama Ramadhan melonjak selepas membantu Indonesia merangkul pingat emas di Sukan SEA 2023, termasuk menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-2 ke atas Thailand di final.
Beliau turut menyumbang satu gol bersama skuad senior Indonesia ketika menewaskan Vietnam 3-0 dalam aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dengan ketajaman penyudah dan naluri menjaringkan gol yang tajam, Ramadhan kini menjadi sandaran utama DPMM FC untuk memperkuat jentera serangan dalam misi mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.