WASHINGTON, 17 Julai - Rentetan jaringan dua gol berturut-turut Lionel Messi dalam saingan Major League Soccer (MLS) berakhir selepas Inter Miami tumpas 0-3 kepada FC Cincinnati dalam aksi liga awal pagi tadi.
Messi, 38, sebelum ini mencipta rekod baharu MLS apabila menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan berturut-turut, sekali gus mengumpul 16 gol musim ini.
Rekod itu menyumbang kepada empat kemenangan dan satu keputusan seri buat Miami sepanjang tempoh tersebut.
Kali terakhir kapten Argentina itu mencatat lima aksi berturut-turut dengan dua gol atau lebih adalah pada 2012 ketika bersama gergasi Sepanyol, Barcelona.
Bagaimanapun, Cincinnati tampil dengan persembahan mantap apabila mengehadkan Miami kepada hanya dua percubaan tepat sepanjang 90 minit permainan.
Gerardo Valenzuela (kanan) / Foto AFP
Pemain tengah muda Amerika Syarikat, Gerardo Valenzuela membuka jaringan tuan rumah seawal minit ke-16, sebelum penyerang Brazil, Evander menambah dua lagi jaringan pada minit ke-50 dan 70 untuk mengesahkan kemenangan selesa di Stadium TQL.
Kekalahan itu menyaksikan Miami kekal di tangga kelima Persidangan Timur dengan rekod 11 kemenangan, empat kekalahan dan lima seri, mengumpul 38 mata – lapan mata di belakang pendahulu keseluruhan liga, Philadelphia.
Philadelphia menewaskan Montreal bagi mengekalkan kelebihan satu mata mengatasi Cincinnati dalam carta keseluruhan MLS.
Miami masih mempunyai tiga perlawanan dalam tangan berbanding dua pasukan teratas liga dan perlu meraih kemenangan dalam ketiga-tiga aksi tersebut bagi merampas kedudukan pendahulu liga. -AFP