PETALING JAYA, 17 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan kejohanan skuad kebangsaan dan menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya menghormati keputusan pasukan kebangsaan termasuk cadangan menggantikan penyertaan dalam Piala Negara-Negara CAFA 2025 dengan kejohanan Pestabola Merdeka, kerana ia terletak di bawah bidang kuasa badan induk sukan.
“Bagi penyertaan pasukan Malaysia dalam mana-mana kejohanan, yang paling utama ialah tahap persediaan atlet dan jurulatih. Saya telah membaca temu bual bersama jurulatih Peter dan percaya beliau lebih mengetahui keperluan pasukan ketika ini,” katanya pada sidang media selepas Asia Pickleball Summit 2025, di sini hari ini.
Hannah turut menegaskan, KBS sentiasa menyokong penuh skuad Harimau Malaya termasuk dari segi fasiliti dan keperluan logistik lain bagi memastikan pasukan mampu beraksi cemerlang dalam mana-mana kejohanan yang disertai.
“Saya menerima penjelasan yang diberikan oleh jurulatih dan yakin pihak FAM serta beliau membuat keputusan berdasarkan pertimbangan wajar. Saya tiada halangan dan menghormati apa jua keputusan mereka,” tambah beliau.
Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan, Malaysia tidak akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025 susulan perubahan tarikh kejohanan yang kini bertembung dengan tarikh di luar kalendar antarabangsa FIFA.