PETALING JAYA, 17 Julai - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai keadaan semasa pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, susulan penarikan diri pemain itu daripada Kejohanan Badminton Terbuka China dan Jepun baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan pihak Lee Zii Jia ada menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memaklumkan tiada perkara yang perlu dirisaukan berhubung paparan gambar lukisan di akaun media sosial miliknya, yang berkemungkinan mengandungi unsur kemurungan.
"Jadi, saya menghormati keputusan Lee Zii Jia dan telah memberikan komen terhadap hantaran beliau. Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya beliau memerlukan sebarang bantuan.
Namun, setakat ini, Lee Zii Jia belum berbincang secara langsung dengan saya mengenai apa-apa bentuk bantuan. Saya memilih untuk memberi ruang kepada beliau kerana sekiranya memerlukan sokongan, beliau mempunyai nombor telefon saya dan saya yakin beliau akan menghubungi kami apabila tiba masanya," katanya selepas Asia Pickleball Summit 2025 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hannah percaya sukan pickle ball di Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana ia semakin popular di kalangan rakyat, terutamanya wanita dan warga emas.
"Saya percaya sukan ini akan terus berkembang kerana wujudnya pasaran dan permintaan yang tinggi. Apabila terdapat pasaran dan permintaan, penaja akan hadir. Dengan adanya penaja, sukan ini dapat berkembang dengan lebih mudah kerana akan wujud lebih banyak pertandingan," katanya.
Tambah beliau, berhubung penambahan sukan pickle ball dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, satu mesyuarat khas bersama semua Exco Sukan Negeri akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan dan mengundi kelulusan sukan-sukan tersebut.
Ini kerana sebarang penambahan sukan perlu mendapat persetujuan daripada semua negeri yang terlibat.