fb fb fb fb fb

Pelantikan sembilan ITO Malaysia bukti keakraban ASTAF, PSM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Pelantikan sembilan pegawai teknikal antarabangsa (ITO) dari Malaysia untuk bertugas di Piala Raja Thai ke-38 yang akan berlangsung di Hatyai, Thailand dari 22-27 Julai ini, membuktikan keakraban antara Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Naib Pengerusi Teknikal Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Syed Azmir Syed Ahmad yang merupakan antara pegawai terlibat pada kejohanan itu berkata ITO dari Malaysia adalah paling ramai jika dibandingkan dengan pegawai dari negara lain yang rata-ratanya seorang sahaja.

Beliau berkata kecemerlangan kepimpinan dan tatakelola PSM di bawah Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan juga berjaya membawa imej sepak takraw negara ke satu tahap yang membanggakan menerusi pelantikan ITO tersebut.

“Moga hubungan erat antara (Presiden ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader dan Datuk Mohd Sumali dapat memacu sepak takraw ke tahap kecemerlangan di persada sukan dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Syed Azmir, lapan lagi ITO dari Malaysia terlibat adalah Yusoff Ali, Suhaimi Sun, Fadzil Hashim, Abdul Hafiz Ahmad, Nazrol Shah Mazlan, Jais Abdul Karim, Mohd Zubir Shari dan Muzaini Mansor.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH