JEDDAH, 2 Januari- Pemandu Audi, Carlos Sainz memulakan musim 2023 dengan memenangi saingan pembukaan Rali Dakar di Arab Saudi pada Ahad.
Pelumba Amerika Syarikat, Ricky Brabec pula mengungguli pusingan pertama itu bagi kategori motosikal.
Sainz yang bergandingan dengan anak lelakinya bekas pemandu Formula One Ferrari, Carlos Sainz Junior, mencatat masa 3 jam 28 minit dan 55 saat dengan jentera Audi.
Pasangan itu meninggalkan pencabar terdekat dari Perancis, Sebastien Loeb dengan kelebihan 10 saat di tempat kedua.
Di tempat ketiga milik pemandu Arab Saudi, Yazeed Al-Rajhi dengan dua minit ketinggalan di belakang Sainz.
Dalam kategori motosikal pula, Ricky Brabec menamatkan perlumbaan lasak di gurun berpasir itu dengan masa 4 jam 14 minit dan 10 saat.
Pelumba Argentina, Kevin Benavides di tempat kedua dengan ketinggalan 19 saat manakala Toby Price dari Australia ketiga dengan 39 saat di belakang catatan Brabec.
Pelumba Britain, Sam Sunderland gagal menamatkan saingan apabila terlibat kemalangan pada jarak 52 kilometer dan dikejarkan ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan.
Dalam perlumbaan motosikal empat tayar, pelumba Perancis, Alexandre Giroud muncul terpantas dengan catatan 4 jam 55 minit dan 28 saat.- AFP
(FOTO AFP)