(Malaysia mahu bangkit dari kekecewaan dengan menang ke atas Singapura/FOTO FAM)
KUALA LUMPUR, 2 Januari - Esok bermulanya misi hidup dan mati skuad Harimau Malaya apabila turun menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Hanya satu matlamat yang perlu dicapai iaitu kemenangan ke atas Singapura di laman sendiri andai impian ke separuh akhir mahu direalisasikan.
Ketika ini Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Vietnam dan Singapura dalam perebutan dua slot separuh akhir yang ditawarkan.
Justeru, menjelang pertemuan dengan 'The Lions' malam esok, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyeru anak buahnya bangkt dengan aksi sebenar, sekali gus menghadiahkan kejayaan buat peminat negara.
"Aksi ini berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Vietnam lepas. Selama empat minggu bersama mereka, saya lihat pemain semakin matang dan profesional.
"Jadi saya percaya esok mereka akan bangkit dengan persembahan yang mantap dan semangat yang tinggi. Kami mampu beri aksi yang terbaik dan harapnya dapat menghadiahkan kemenangan buat peminat," atanya pada sidang media praperlawanan di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Ketika ini Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Vietnam dan Singapura dalam perebutan dua slot separuh akhir yang ditawarkan.
Justeru, menjelang pertemuan dengan 'The Lions' malam esok, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyeru anak buahnya bangkit dengan aksi sebenar, sekali gus menghadiahkan kejayaan buat peminat negara.
(Kapten Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim/FOTO FAM)
Dalam pada itu, kapten Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim tetap percaya dengan kemampuan rakan sepasukannya dalam memburu kemenangan ke atas Singapura malam esok.
Pemain sayap berusia 25 tahun itu mengakui, masanya telah tiba buat semua pemain baharu Harimau Malaya membuktikan kemampuan sebenar dengan menghadiahkan kemenangan di hadapan peminat sendiri.
"Apa yang saya katakan kepada pasukan Harimau Malaya esok merupakan perlawanan penting iaitu bermain di rumah sendiri.
"Pasukan kita tidak boleh kalah kerana kita mempunyai ahli keluarga serta rakyat Malaysia yang akan bagi sokongan, jadi kita tidak akan biarkan orang (pasukan lawan) tawan rumah kita, saya percaya dengan rakan pasukan yang akan buat yang terbaik pada perlawanan esok," katanya.
Selepas Singapura seri tanpa jaringan dengan Vietnam, Jumaat lepas, Malaysia tiada pilihan selain mencatat kemenangan untuk layak ke separuh akhir.
Singapura, yang juga juara empat kali, hanya memerlukan keputusan seri selepas memiliki kelebihan satu mata di tempat kedua, manakala Malaysia di tempat ketiga dengan enam mata.