fb fb fb fb fb

Fernandes harap kehadiran Amorim mampu ubah nasib Man United

Foto REUTERS

MANCHESTER, 14 November-Ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes percaya pengendali baharu kelab berkenaan, Ruben Amorim mampu mengubah nasib kelab tersebut sama seperti yang dilakukannya terhadap bekas kelabnya, Sporting Lisbon.

Amorim, 39 tahun tiba di pusat latihan Manchester United, Carrington pada Isnin, sehari selepas perlawanan terakhir bersama Sporting Lisbon; menyaksikan kemenangan 4-2 ke atas Braga.

Ini merupakan kemenangan ke-11 kelab tersebut dalam usaha menjuarai Liga Primeira buat kali kedua berturut-turut sejak tahun 1950.

Sebelum ini, Sporting berdepan kemarau kejuaraan selama 20 tahun sehingga kehadiran Amorim yang membawa pasukan berkenaan menjuarai gelaran liga pada 2021.

Perubahan dibawa Amorim terhadap kelab Portugal itu mengagumkan banyak pihak termasuk Fernandes sendiri.

"Saya berharap dia dapat melakukan sama seperti apa yang dilakukan di Sporting. Ini adalah masa yang tepat", katanya.

"Kami berharap dia (Amorim) datang membawa kualiti dan pengetahuan yang dimilikinya tentang bola sepak.

"Apa yang dilakukannya di Sporting sangat istimewa", tambah Fernandes.

"Sekiranya ada sesiapa yang meragui keupayaannya, lihat kepada sejarah kelab Sporting. Mereka ketandusan kejuaraan selama 20 tahun.

"Dia (Amorim) telah memenangkan kejuaraan sebanyak dua kali dalam tempoh empat tahun bersama pasukan muda", kata Fernandes.

Terdahulu, Amorim dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Manchester United menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada 28 Oktober lalu selepas prestasi buruk pasukan itu yang menyaksikan mereka di kedudukan ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris.

Perlawanan pertama Man United bawah kendalian Amorim ialah menentang Ipswich Town pada 24 November depan. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD