SAO PAULO, 14 November- Dunia bola sepak masa kini sedang berubah.
Perkara itu dinyatakan jurulatih Brazil, Dorival Junior menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela, awal pagi esok.
"Saya tidak fikir kami akan berdepan perlawanan yang mudah. Lupakan Venezuela, Bolivia baru-baru ini.
"Ketika ini dunia bola sepak telah banyak berubah," kata Junior kepada media sewaktu latihan skuad Selecao di Belem.
Meskipun tekanan berkurangan selepas Brazil menewaskan Chile, 2-1 dan membelasah Peru, 4-0 pada Oktober lalu, namun pengendali berusia 65 tahun itu memberi amaran bahawa pasukannya berdepan nasib seperti Argentina.
Iaitu kehilangan rentak ketika berdepan lawan yang lebih mudah.
"Bola sepak Amerika Selatan banyak berkembang. Majoriti pemain kebangsaan beraksi bersama kelab-kelab di seluruh dunia.
"Pasukan teratas tidak mempunyai banyak ruang untuk berkembang. Pasukan bawahan pula mula mengorak langkah yang menarik dan lebih besar, ia menjadikan perlawanan lebih sengit," katanya.
Selepas 10 perlawanan, Brazil ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Argentina, manakala Venezuela berada di kedudukan kelapan. -AFP