LONDON, 14 November- Ketua pasukan England, Harry Kane mengakui kecewa dengan jumlah pemain yang menarik diri daripada skuad kebangsaan ketika aksi penting bermula minggu ini.
Beliau menegaskan panggilan menyertai pasukan negara mesti diutamakan berbanding kelab.
Kenyataan Kane itu hadir menjelang aksi Liga Negara Eropah antara England dengan Greece esok dan perlawanan menentang Ireland pada Isnin minggu depan.
Lebih mengecewakan Kane, penarikan diri lapan pemain itu berlaku ketika The Three Lions perlu memenangi perlawanan tersebut.
Antara pemain yang menarik diri daripada panggilan pengendali sementara England, Lee Carsley adalah Declan Rice, Phil Foden, Bukayo Saka dan Cole Palmer.
Beliau juga mengakui perkara tersebut tidak berlaku ketika Gareth Southgate mengendalikan pasukan kerana beliau mencipta suasana yang menyebabkan pemain tidak sabar untuk menyertai kem latihan England.
“Saya rasa setiap orang teruja untuk datang ke kem latihan, setiap orang mahu bermain untuk England, itu perkara yang paling penting.
"Saya rasa England mendahului segala-galanya. England mendahului kelab," katanya.
Penyerang Bayern Munich itu berkata ia adalah satu perkara "memalukan" apabila begitu ramai pemain menarik diri.
“Musim ini adalah satu tempoh yang sukar," katanya. - AFP