KELANA JAYA, 7 Ogos - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamakan Rakphol Sainetngam dari Thailand, sebagai ketua jurulatih baharu skuad futsal kebangsaan.
Pelantikan tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali sebelum ini, Chiew Chun Yong.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM berkata pihaknya yakin kehadiran Rakphol mampu memperkasakan lagi skuad futsal Harimau Malaya.
"Saya cukup yakin Rakphol sebagai ketua jurulatih.
"Dia (Rakphol) telah banyak kali datang ke sini dan menyaksikan liga MPFL kita dan dia sudah mempunyai idea, terutamanya berkaitan pemilihan pemain yang baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan kerjasama antara FAM dan Marco Worldwide Sdn Bhd dan pelancaran jam tangan edisi terhad Harimau Malaya di Wisma FAM, di sini, hari ini.
Skuad futsal negara dijangka akan berkumpul untuk kem latihan pusat pertama di bawah bimbingan Rakphol bermula 10 September depan.
Ini sebagai persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 yang akan berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober.
Rakphol merupakan bekas ketua jurulatih kelab Black Steel Papua yang menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 di Korat, Thailand pada Mei lalu.