fb fb fb fb fb

Quartararo raih petak pertama, Marc Marquez keempat

Fabio Quartararo mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan MotoGP Belanda - Reuters

ASSEN, 28 Jun – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo, terus membuktikan keunggulannya apabila meraih petak utama dalam sesi kelayakan Grand Prix Belanda hari ini.

Quartararo mencatat masa terpantas 1 minit 30.651 saat untuk merebut petak pertama ke-20 dalam karier MotoGP beliau, menewaskan pesaing utama dari Ducati dan Gresini Racing.

Di barisan hadapan, Quartararo akan ditemani oleh Francesco Bagnaia (Ducati) dan Alex Marquez (Gresini Racing).

2806 SKN MOTOGP QUARTARARO LEAD 1Quartararo raih petak pertama ke-20 dalam karier MotoGP

Sementara itu, pendahulu kejuaraan, Marc Marquez, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat, selepas dua kali terjatuh dalam sesi latihan pada Jumaat.

Marc kini mendahului adiknya, Alex, dengan 40 mata menjelang perlumbaan pecut, manakala Bagnaia, yang berada di tangga ketiga keseluruhan, ketinggalan 110 mata.

Sesi kelayakan bermula dengan persaingan sengit antara jentera Ducati, membabitkan Marquez dan Bagnaia, yang saling bertukar catatan terpantas.

Namun, Quartararo mencuri tumpuan apabila memecah masa 1:31 sebelum dipintas seketika oleh Alex dan Marc.

Bagaimanapun, pelumba Perancis itu bersama Bagnaia kembali mencatat masa lebih pantas, menempatkan diri mereka di dua kedudukan teratas.

Marc yang cuba memperbaiki masa pada pusingan terakhirnya tergelincir keluar trek, memaksanya berpuas hati di tempat keempat.

Alex pula kecewa selepas gagal menambah baik catatan masa ketika sesi hampir tamat.

Bagnaia, yang menjuarai perlumbaan di Assen selama tiga tahun berturut-turut, pula berpuas hati dengan prestasi jenteranya selepas mengalami permulaan musim yang kurang memberangsangkan.

Juara dunia dua kali itu hanya menang sekali dalam sembilan pusingan pertama musim ini.

Di barisan kedua, Marc Marquez akan ditemani oleh Marco Bezzecchi (Aprilia) dan Franco Morbidelli (VR46 Racing), menjanjikan satu lagi perlumbaan penuh drama dan aksi di Assen. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK