fb fb fb fb fb

Gagal juarai kumpulan, Chelsea hadapi masalah logistik

Chelsea terpaksa ke Charlotte dari Miami untuk aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab - Foto AFP

CHARLOTTE, 28 Jun – Chelsea kini berdepan masalah logistik susulan menamatkan saingan Kumpulan D di tempat kedua dalam saingan Piala Dunia Kelab 2025, yang memaksa pasukan berkenaan ke sini untuk aksi pusingan 16 terbaik, bukannya kekal di Miami seperti dirancang.

Menurut sumber dalaman kelab kepada Reuters, segala persiapan termasuk penginapan, perjalanan dan sesi latihan telah disusun berdasarkan andaian bahawa The Blues akan menjuarai kumpulan dan bermain di Stadium Hard Rock, Miami.

Namun, kekalahan 3-1 kepada Flamengo dari Brazil diikuti kemenangan 3-0 ke atas Esperance Tunis, hanya cukup untuk menamatkan peringkat kumpulan di tempat kedua, sekali gus memaksa Chelsea menentang Benfica pada awal pagi Ahad di Bank of America Stadium, Charlotte.

2806 SKN CHELSEA MASALAH LOGISTIK 2Chelsea gagal menjuarai kumpulan D walaupun menang 3-0 ke atas Esperance Tunis - Foto AFP

Perubahan lokasi secara mengejut itu memerlukan penyusunan semula jadual dan tempahan dalam masa yang singkat.

Kelab dari England itu bagaimanapun tetap merancang untuk kembali ke pangkalan mereka di Miami selepas perlawanan menentang Benfica dan terpaksa menambah lagi jarak perjalanan dalam jadual yang sudah padat.

Sekiranya pasukan bimbingan Enzo Maresca itu mara ke peringkat suku akhir, mereka akan kembali ke Lincoln Financial Field di Philadelphia untuk berdepan pemenang pertembungan antara dua kelab Brazil, Palmeiras dan Botafogo. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK