KUALA LUMPUR, 29 Jun - Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan pamer aksi cemerlang untuk meraih kedudukan podium pada Perlumbaan 2 kelas ESBK Talent pada Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Aragon, Sepanyol, hari ini.
Penunggang berusia 13 tahun dari Frando Racing VHC Team itu, bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih tempat kedua, hanya 0.018 saat (s) di belakang pelumba Fullmoto Squadra Corse, Alessio Arnold.
Tempat ketiga menjadi milik Enzo Zaragoza dari Aspar KBS Technical Academy.
Qabil turut mendapat tempat kedua dalam Perlumbaan 1 di Aragon - Foto FB ZK Racing
Qabil memulakan saingan dari petak kedua perlumbaan 11 pusingan tersebut dan beberapa kali dilihat ketinggalan sebelum menampilkan pecutan cemerlang pada pusingan terakhir.
Pusingan keempat kejuaraan ESBK Talent dijadual berlangsung di Litar Navarra, Sepanyol dari 17-20 Julai ini.
Terdahulu, dalam Perlumbaan 1 semalam, Qabil turut meraih tempat kedua di belakang Enzo Zaragoza yang melintasi garisan penamat dengan kelebihan hanya 0.062 saat di hadapan.