fb fb fb fb fb

Jadual padat jejaskan mutu aksi bintang tenis - Swiatek

Swiatek menegaskan jadual padat hanya memberi tekanan besar kepada pemain - Foto AFP

LONDON, 29 Jun - Menjelang aksi pembukaannya di Wimbledon tahun ini, pemain nombor empat dunia, Iga Swiatek, menyuarakan kebimbangan terhadap jadual pertandingan tenis yang disifatkannya sebagai terlalu intensif.

Swiatek yang juga juara Grand Slam lima kali berkata, tiada keperluan untuk pemain menyertai lebih daripada 20 kejohanan setahun, dan menegaskan jadual padat hanya memberi tekanan besar kepada pemain.

“Saya percaya peminat tetap akan menonton tenis, mungkin lebih ramai, jika kami bermain sedikit kejohanan, tetapi dengan mutu yang lebih tinggi atau persembahan yang lebih konsisten. Sudah pasti ia pasti lebih mencabar,” katanya dalam sidang media hari ini.

2906 SKN SWIATEK JADUAL PADAT 2Swiatek akan membuka kempen Wimbledon menentang pemain Rusia, Polina Kudermetova - Foto AFP

Swiatek yang sebelum ini sering bergelut di gelanggang rumput, menerima suntikan keyakinan selepas mara ke final Terbuka Bad Homburg pada Sabtu lalu, sebelum tewas kepada pilihan utama, Jessica Pegula.

Pemain dari Poland itu belum memenangi sebarang gelaran perseorangan sejak kejayaan di Terbuka Perancis 2024, dan akan membuka kempen Wimbledon menentang pemain Rusia, Polina Kudermetova.

Kejohanan Wimbledon dijadual berlangsung dari 30 Jun hingga 13 Julai. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK