SHAH ALAM, 29 Jun - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menyokong inisiatif memperkasa sukan orang kurang upaya (OKU) dengan menyalurkan peruntukan khas RM30,000.
Peruntukan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika meninjau kem "Malaysian Amputee Football Junior and Women" di EV Arena Elmina, di sini semalam.
Berita baik itu dikongsi beliau dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Hannah bersama adik Muhammad Aqil Naufal Zahiran - Foto FB Hannah Yeoh
Menurutnya, kem anjuran Persatuan Bola Sepak Amputee Malaysia (MAFA) itu turut disertai adik Muhammad Aqil Naufal Zahiran, yang pernah tular dua tahun lalu ketika berjaya menamatkan larian 100 meter (m) menggunakan tongkat.
"Saya menyokong penuh inisiatif seperti ini dan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk memperkasakan lagi program sebegini.
"Namun, saya turut menyeru lebih ramai OKU khususnya kaum wanita agar tampil menyertai aktiviti sukan seperti ini," katanya.
Beliau berkata, peruntukan itu juga selaras dengan prinsip “No One Is Left Behind”, KBS yang sentiasa memberikan keutamaan kepada penglibatan aktif OKU dalam bidang sukan.
Muhammad Aqil (tengah) pernah tular ketika berjaya menamatkan larian 100m menggunakan tongkat - Foto FB Hannah Yeoh
Pada Ogos 2023, video memaparkan Muhammad Aqil menyempurnakan larian 100m menggunakan tongkat sempena Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSD Jerantut tular di media sosial.
Semangat ditunjukkan pelajar berusia 13 tahun itu memberi inspirasi buat rakyat Malaysia.