KUALA LUMPUR, 29 Jun - Menjelang kejohanan takraw Piala Raja Thailand yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 Julai ini, pasukan kebangsaan melakukan beberapa perubahan dalam senarai pemain.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, memaklumkan senarai baharu pemain berkenaa telah dihantar kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Pemain-pemain kini sedang bersaing dalam Liga Sepak Takraw (STL) Grand Prix - Foto FB PSM
Menurutnya, pemilihan pemain untuk kejohanan berkenaan adalah berdasarkan prestasi semasa dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Grand Prix.
"Kita juga telah menghantar senarai nama kepada jawatankuasa Piala Raja Thailand, dengan beberapa perubahan pemain berdasarkan prestasi terkini pemain.
"Saya akan umumkan (senarai pemain) kemudian kerana beberapa perubahan masih akan dibuat bergantung kepada keputusan Grand Prix 2 STL di Negeri Sembilan.
"Namun, senarai pemain telah pun dihantar, dan memang ada beberapa perubahan yang dilakukan", katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM di sini, hari ini.
Perubahan senarai nama pemain masih akan dibuat bergantung kepada keputusan Grand Prix 2 STL di Negeri Sembilan - Foto FB PSM
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Piala Dunia di ibu negara beliau berkata, perkara itu masih diperingkat rundingan awal kerana ia memerlukan bajet yang besar serta penajaan daripada pelbagai pihak.
Menurutnya, usaha giat dijalankan untuk mendapatkan sokongan, termasuk bidaan bagi penganjuran kejohanan berprestij itu di Stadium Axiata Arena.