KUALA NERUS, 8 April – Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, berazam untuk terus mencipta kejayaan dalam saingan Kejuaraan Sepanyol Superbike (ESBK) musim ini.
Qabil mencipta kejutan apabila muncul juara berganda di Litar Jerez, Sepanyol baru-baru ini.
Pelumba berusia 13 tahun itu turut menewaskan dua pencabar utama, Izan Rodriguez dan Andres Garcia, dalam dua perlumbaan berturut-turut.
Kemenangan tersebut sekali gus memecahkan dominasi pelumba Sepanyol di pentas podium.
Qabil yang berasal dari Kuala Terengganu tidak mahu selesa dengan kejayaan itu dan bertekad untuk kekal konsisten.
“Masih ada banyak lagi ‘round’... kita tidak akan berhenti setakat ini. Saya akan terus berusaha untuk perlumbaan akan datang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus pada Selasa.
Sementara itu, bapanya merangkap jurulatih, Azlan Abd. Rahman, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan yang dikecapi anaknya dan berterima kasih atas sokongan berterusan rakyat Malaysia.
“Untuk sampai ke peringkat ini… saya sangat bersyukur kepada Allah SWT. Qabil diberikan kemenangan yang baik dalam dua perlumbaan baru-baru ini,” ujarnya.
Untuk rekod, musim lalu merupakan penampilan pertama Qabil dalam kategori Moto 4 di kejohanan ESBK.
Manakala pada musim ini, beliau layak bersaing dalam kategori ESBK Talent dengan jentera baharu 250cc.
Pasangan anak-beranak ini ditemui sejurus tiba di Terengganu selepas menempuh penerbangan panjang dari Sepanyol ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.