fb fb fb fb fb

Sabah FC tundukkan PDRM FC 1-0

Kemenangan ini menyaksikan Sabah FC kini mengumpul 39 mata/Foto Sabah Football Club

KOTA KINABALU, 8 April – Sabah FC berjaya meraih tiga mata berharga selepas menewaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, malam ini.

Dalam perlawanan yang menyaksikan The Rhinos menurunkan kesebelasan utama terbaik mereka, pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan agresif menerusi beberapa percubaan awal ke arah gawang PDRM FC.

Antara peluang terbaik hadir seawal minit ke-3 melalui cubaan Darren Lok, namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol pelawat, Nor Hakeem Hamidun.

PDRM FC yang hadir dengan misi memburu tiga mata turut memberi tentangan sengit menerusi serangan bertali arus, namun ketangkasan penjaga gol Sabah, Damien Lim, dan pertahanan kental pasukan tuan rumah menggagalkan setiap usaha mereka.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-42 menerusi Dominic Tan yang melakukan tandukan tepat hasil sepakan sudut oleh Saddil Ramdani, sekali gus meletakkan Sabah FC di hadapan sebelum tamat babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano, menyifatkan perlawanan malam ini sebagai satu aksi yang terbuka dan kompetitif daripada kedua-dua pasukan.

“Sebenarnya, permainan babak kedua agak terbuka daripada kedua-dua pasukan. Mereka mencipta peluang, kami juga mencipta peluang. Ia satu permainan yang baik.

"Pada akhirnya, kami perlu rasa gembira. Kami memperoleh tiga mata di Stadium Likas, dan ini membawa kami satu langkah lebih dekat dengan sasaran untuk mengekalkan kedudukan,” katanya.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah FC kini mengumpul 39 mata dan kembali berada di kedudukan ketiga dalam carta saingan Liga Super.

GRACE AISYAH KEDAYAN