fb fb fb fb fb

Arsenal tundukkan Real Madrid, Rice cetus keajaiban di Emirates

Foto AFP

LONDON, 9 April- Mikel Arteta mengakui Arsenal menewaskan segala jangkaan selepas mencatat kemenangan sensasi 3-0 ke atas juara bertahan Liga Juara-Juara, Real Madrid.

Ia diterjemah hasil dua sepakan percuma mengagumkan daripada Declan Rice dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Pemain tengah England itu yang tidak pernah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dalam 338 perlawanan sebelum ini, meledak dua gol dalam tempoh 12 minit separuh masa kedua.

Jaringan berharga itu meletakkan The Gunners di ambang kemaraan ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2009.

Gol ketiga Arsenal disumbangkan oleh Mikel Merino, mengukuhkan kedudukan pasukan tuan rumah menjelang perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu minggu hadapan.

"Kami sudah lama tidak menjaringkan gol daripada sepakan percuma, hampir empat tahun. Jadi untuk Rice menjaringkan dua gol dengan kualiti sebegitu, menentang salah satu penjaga gol terbaik dunia, ia sesuatu yang luar biasa," kata Arteta.

Kali terakhir Arsenal menjaringkan gol terus daripada sepakan percuma adalah menerusi Martin Odegaard menentang Burnley pada September 2021.

Kapten pasukan, Odegaard dilihat terpaku dan meletakkan tangan di kepala ketika menyaksikan Rice menyempurnakan gol keduanya manakala Arteta turut menyatakan rasa terkejut yang sama.

Kemenangan itu turut menjadi penawar buat Arsenal yang sebelum ini bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Liga Juara-Juara kini menjadi peluang terakhir mereka untuk meraih trofi musim ini.

Arteta menyifatkan perlawanan tersebut sebagai antara yang paling indah sepanjang kariernya bersama Arsenal.

"Saya bangga dengan pasukan ini. Stadium malam ini sangat luar biasa. Untuk malam Eropah yang besar, anda perlukan detik-detik magis seperti ini. Inilah keindahan bola sepak," ujar pengendali Sepanyol itu.

Arsenal pernah menyingkirkan Real Madrid dalam pusingan 16 terbaik pada 2006 sebelum mara ke aksi akhir sulung mereka dan kini berada di landasan untuk mengulang sejarah itu, dengan berpeluang bertemu Paris Saint-Germain atau Aston Villa di separuh akhir.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM