MUNICH, 9 April- Ketua jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany yakin terhadap peluang pasukannya untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara meskipun tewas 1-2 kepada Inter Milan dalam aksi suku akhir pertama di Allianz Arena, awal pagi tadi.
Bayern mendominasi sebahagian besar perlawanan tetapi dikejutkan dengan jaringan Lautaro Martinez pada minit ke-38.
Harapan untuk menyamakan kedudukan muncul apabila pemain veteran, Thomas Mueller dimasukkan pada minit ke-74 dan menjaringkan gol penyamaan, namun Inter kembali di depan melalui serangan balas yang disudahkan oleh Davide Frattesi pada minit ke-88.
"Separuh masa pertama kami sangat dominan. Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.
Inter mendahului, tetapi kami perlu menang di Milan. Keputusan tidak selalu adil. Ini baru separuh masa. Kami percaya sepenuhnya kami boleh lakukannya di Milan," kata Kompany.
Penyerang Bayern, Harry Kane turut berkongsi semangat yang sama, sambil menyatakan bahawa aksi timbal balik masih terbuka.
"Mereka (Inter) meraikan seperti sudah memenangi perlawanan akhir. Tetapi segalanya masih boleh berubah. Kami mencipta banyak peluang untuk menyakitkan mereka dan jika kami ulanginya minggu depan, kami boleh bangkit," kata Kane.
Bayern turun tanpa beberapa tonggak utama yang cedera termasuk Jamal Musiala, Manuel Neuer, Alphonso Davies dan Dayot Upamecano, namun Kompany enggan menjadikan situasi itu sebagai alasan.
"Keputusan sudah pun dicatatkan, tetapi kami yakin kami mampu menang di Milan," tambah bekas kapten Belgium itu.
Kekalahan tersebut merupakan yang pertama buat Bayern di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara sejak 2021, menamatkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah di Allianz Arena.
Bayern, yang kini mendahului Bundesliga dengan enam mata di hadapan Bayer Leverkusen, akan berdepan seteru tradisi Borussia Dortmund hujung minggu ini sebelum terbang ke Itali untuk aksi timbal balik yang dijangka sengit di San Siro.- AFP