IPOH, 9 April- Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak mencatat sejarah sebagai majlis sukan pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan fasiliti kolam hidroterapi.
Kolam bernilai RM1.92 juta itu merupakan pelaburan strategik yang bertujuan untuk memperkukuh sistem pemulihan dan rehabilitasi atlet secara saintifik dan klinikal.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fasiliti ini bukan hanya berfungsi sebagai tempat pemulihan kecederaan, tetapi juga berperanan penting dalam mempercepatkan proses pemulihan tisu otot, mengurangkan tekanan pada sendi, dan menyokong proses rehabilitasi secara menyeluruh.
"Ia juga mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan mental atlet Perak, khususnya menjelang kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi Atlet MSN Perak di Ipoh.
Projek ini adalah hasil kerjasama antara MSN, kerajaan negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak. Pada majlis yang sama, kerajaan negeri turut mengumumkan Geran Bantuan berjumlah RM125,000 untuk memperkasa pembangunan sukan negeri.
Sebanyak RM90,000 akan disalurkan kepada 45 Persatuan Sukan Negeri (PSK), manakala Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (PESRON) menerima RM35,000.